Program Senireka Grafik Kian Diminati


Industri kreatif semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan apabila mereka memilih untuk menceburi bidang tersebut setelah tamat belajar. Minat itu timbul daripada pendedahan mereka kepada pelbagai perisian yang membolehkan mereka menggunakan imaginasi dan kreativiti untuk menghasilkan sesuatu karya seni.

Pertumbuhan industri kreatif di Malaysia juga menunjukkan perkembangan yang positif sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa. Nilai industri kreatif negara ini dijangka berkembang kepada RM33 bilion menjelang tahun 2020 berbanding RM9.4 bilion pada tahun 2013. Malah, kerajaan melalui Dasar Industri Kreatif Negara yang dilancarkan pada tahun 2010, memperuntukkan RM200 juta untuk menyokong industri kreatif negara. Salah satu cabang industri kreatif yang popular ialah bidang seni reka grafik. 

Ia merujuk kepada proses kreatif dalam menyampaikan maksud tertentu kepada golongan sasaran dengan memfokuskan kepada penggunaan komunikasi seni visual yang efektif sebagai medium persembahan. Penggunaan ilmu seni reka grafik termasuklah dalam penghasilan identiti seperti Logo dan jenama, laman sesawang, penerbitan iaitu filem, majalah, surat khabar dan buku. Antara bidang pengkhususan kerja yang boleh diceburi oleh lepasan seni reka grafik ialah sebagai Pengarah seni/ kreatif, layout artist, brand identity design, pereka logo, pereka Flash, Pereka Illustrator, Photo Editing dan banyak lagi.


Sumber :Utusan Malaysia (03 September 2016)
Powered by Blogger.